PAPAR: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dilaporkan sesat ketika keluar menoreh getah di Kampung Tanaki, di sini, ditangguhkan jam 11 malam tadi, berikutan cuaca gelap, laluan berbukit dan licin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba Rozlan Osman berkata, SAR yang dijalankan sejak petang tadi membabitkan tujuh anggota bomba dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala lima Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua orang awam.
“Kira-kira jam 10 malam tadi, telefon bimbit mangsa dapat dihubungi tetapi sukar mengesan kedudukannya disebabkan cuaca gelap dan laluan licin.
“Pasukan SAR meneruskan pencarian berdasarkan kedudukan terakhir mangsa namun agak sukar untuk pasukan operasi tiba di lokasi itu disebabkan laluan berbukit, licin dan cuaca gelap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rozlan berkata, atas sebab faktor keselamatan pasukan SAR, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11 malam tadi.
“Bagaimanapun pasukan SAR masih berada di Pos Kawalan dan operasi SAR akan disambung semula jam 7 pagi nanti.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X