Search

Lelaki hilang ketika keluar tangkap ikan ditemui lemas

November 26, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Lelaki yang dilapor hilang ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh, di sini, kelmarin ditemukan lemas, tengah malam tadi.

Mangsa Noordin Punjuh, 51, ditemui penduduk kampung jam 12.56 tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syazwan Latun berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama dipecahkan kepada tujuh kumpulan.

Katanya, pasukan operasi terdiri daripada bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA) dan penduduk kampung.

“Anggota operasi menggunakan teknik pencarian pada permukaan (surface searching) menggunakan bot.

“Selain itu, pencarian di kawasan tebing sungai dan pencarian menggunakan bot serta dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilakukan dengan jarak keseluruhan lapan kilometer,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang, Kota Belud. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung pada jam 12.56 tengah malam tadi dengan jarak 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan pasukan bomba bertindak mengambil mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi SAR ditamatkan pada jam 2.09 pagi ini,” katanya.

Terdahulu, mangsa Noordin dikatakan keluar rumah untuk menangkap ikan di sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang, kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah dan kira-kira jam 8 malam semalam, adik mangsa mencari di sekitar sungai namun hanya menemukan jala, beg pinggang, telefon bimbit, selipar dan baldi dipercayai milik mangsa. – Info X