KOTA KINABALU: Seramai 20 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) terpilih sebagai penerima pertama Biasiswa Kedutaan China.
Mereka yang terdiri daripada pelajar pelbagai fakulti menerima biasiswa itu daripada Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing pada satu majlis di UMS, baru-baru ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata UMS adalah universiti awam pertama di Malaysia menerima Biasiswa Kedutaan China.
“Pemberian biasiswa daripada Kedutaan Besar China di Malaysia merupakan satu pengiktirafan kepada UMS dalam mengukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua negara.
“Biasiswa yang ditawarkan bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan tetapi membuka pintu kepada peluang untuk pertukaran budaya dan kerjasama antarabangsa.
“Kita memang ada hubungan yang baik dengan China, jadi dengan pemberian biasiswa ini akan merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara,” katanya pada Majlis Penyampaian Biasiswa Kedutaan China kepada pelajar UMS, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, sumbangan itu menandakan sokongan Kedutaan Besar China di Malaysia terhadap UMS yang mempunyai kepakaran, sumber, kapasiti untuk melahirkan graduan bakal pemimpin masa depan, inovator dan penyumbang pembangunan negeri dan negara.

“Sokongan daripada kedutaan memastikan pelajar yang terpilih, terutama daripada keluarga B40, berpeluang untuk mengejar impian mereka tanpa bebanan atau kekangan kewangan.
“Justeru, UMS merakamkan penghargaan kepada pihak Kedutaan China kerana telah memilih UMS dan kita mengharapkan pada tahun hadapan lebih ramai lagi pelajar akan mendapat biasiswa seumpama ini,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shifang; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Komuniti) UMS, Prof Dr Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nazri dan Pengarah Confucius Institute UMS, Dr Chiew Tung Moi (Malaysia) dan Prof Madya Dr Huang Yuehuwa (China). – Info