LAHAD DATU: Seorang pemandu treler kontena dilaporkan tersepit selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum jatuh ke dalam gaung dekat simpang Lembah Danum, Jalan Tawau – Lahad Datu, di sini, pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 51 tahun dilaporkan tersepit sejak jam 7 pagi tadi dan setakat berita ini ditulis pada kira-kira jam 4 petang ini, usaha mengeluarkan mangsa yang masih dalam keadaan sedar belum berhasil.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.24 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah treler yang membawa dua kontena seberat 41.2 tan muatan Baja Borax dari Tawau ke Lahad Datu.
“Kenderaan berkenaan dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam masuk ke gaung setinggi 30 meter di tepi jalan berkenaan.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dan pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas namun gagal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Sumsoa, mangsa dilaporkan dalam keadaan sedar dan sedang dipantau oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.

Katanya, bantuan kren dari Tawau sedang dalam perjalanan ke lokasi kemalangan.
“Sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X