Search

SMJE bayar dividen interim RM50 juta kepada kerajaan negeri

November 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE), hari ini mengumumkan pembayaran dividen interim sebanyak RM50 juta kepada kerajaan negeri bagi tahun ini.

Jumlah itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif SMJE, Dr Dionysia Kibat pada majlis penyerahan dividen kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

Beliau berkata, dividen itu diperoleh daripada lebihan dana hasil aliran tunai kukuh menerusi portfolio perniagaan minyak dan gas yang seimbang, selepas mengambil kira komitmen aktiviti semasa dan yang dirancang.

“Ini adalah tahun kedua kami membayar dividen kepada kerajaan negeri selepas mengambil kira keperluan pembiayaan dalaman kami,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan strategik SMJE setakat ini termasuk pegangan 50 peratus dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang, menjana RM940 juta daripada penjualan minyak mentah dan RM336 juta melalui penjualan gas.

Katanya, pelaburan SMJE dalam PLNG9 dan Projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) setakat ini menghasilkan gabungan pendapatan sebanyak RM1 bilion daripada operasi hiliran dan pertengahan.

Sementara itu, katanya pengambilalihan Sabah International Petroleum (SIP) oleh SMJE memberi nilai tambah apabila usaha pembiayaan semula pinjaman berjaya menjimatkan RM60 juta daripada faedah pada 2023.

“SIP kini adalah perniagaan bebas hutang yang menghasilkan aliran tunai positif dan stabil,” katanya.

Beliau berkata, agensi Penarafan RAM baru-baru ini mengesahkan semula penarafan kredit AAA SMJE pada September 2024.

Jelasnya, pelabur sukuk yang teruja dengan prestasi perniagaan SMJE kini bersedia melabur dalam usaha masa depan syarikat itu.

Dionysia menegaskan komitmen SMJE terhadap peranannya sebagai pelabur kewangan yang berhemat dengan portfolio minyak dan gas yang seimbang, memberi keutamaan kepada pengambilalihan aset yang menguntungkan, mempunyai aliran tunai positif dan dikendalikan oleh syarikat bereputasi tinggi dengan rekod cemerlang dalam Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).

Syarikat itu melaporkan Keuntungan Bersih sebanyak RM259 juta bagi tahun kewangan 2023 dengan aset kumpulan berjumlah RM5.1 bilion setakat 31 Disember 2023.

Pada majlis itu, Menteri Kewangan selaku Pengerusi SMJE, Datuk Seri Masidi Manjun, menyatakan pencapaian cemerlang syarikat itu setakat ini, selepas penubuhannya kurang daripada tiga tahun lalu, adalah bukti jelas bahawa Sabah berada di landasan pertumbuhan yang kukuh serta mendapat keyakinan dan sokongan komuniti pelaburan.

Beliau turut menambah bahawa dengan mengekalkan amalan terbaik, tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan yang kukuh, negeri ini pasti menjadi destinasi pelaburan yang menarik kepada semua. – Info X