KOTA KINABALU: Seramai 19,344 rakyat Sabah dilaporkan bekerja dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan di Semenanjung ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata jumlah itu berdasarkan data dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) setakat 5 Oktober 2024.
“Pegawai kelahiran Sabah ini bertugas di pelbagai kementerian atau jabatan,” katanya dalam jawapan bertulis terhadap soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO – Tuaran) ketika sesi Soalan Lisan pada Persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur.
Dalam soalannya, Madius meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan kakitangan berasal dari Sabah yang bertugas di Semenanjung.
Madius turut bertanya mengenai langkah kerajaan Persekutuan membantu penjawat awam yang ingin ditempatkan bertugas di Sabah, berikutan ramai yang mahu kembali ke negeri asal.
Menjawab pertanyaan itu, Zaliha berkata kerajaan membenarkan pegawai awam persekutuan (pegawai gunasama) kelahiran Sabah yang ingin bertukar ke Jabatan Persekutuan Negeri dan berminat ditempatkan di Sabah.
Bagaimanapun, katanya ia tertakluk kepada beberapa syarat termasuk skim perkhidmatan pegawai, kekosongan jawatan di lokasi penempatan yang dimohon dan pegawai mesti sudah berkhidmat selama tiga tahun di penempatan semasa.
“Selain itu, ia juga bergantung kepada kedudukan susunan (queue) permohonan pertukaran ke lokasi atau negeri yang dimohon dan ketersediaan pegawai ganti bagi menggantikan tempat yang akan dikosongkan,” katanya.
Zaliha berkata, pertukaran pegawai juga perlu selaras dengan prinsip pertukaran dan pusingan kerja dengan mengambil kira kedudukan terkini pegawai awam.
Antaranya beliau berkata gred dan kekananan pegawai, kepakaran bidang pengkhususan, pengalaman dan kriteria yang menepati keperluan bidang tugas jawatan di lokasi atau negeri yang akan ditempatkan.
“Bagi pegawai bukan gunasama pula, urusan pertukaran diuruskan oleh kementerian masing-masing.
“Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menyelesaikan perkara ini adalah menyediakan medium permohonan pertukaran guru secara dalam talian iaitu Modul Pertukaran Guru (eGTukar),” katanya. – Info X