Search

KOPEKS bangunkan tanah untuk projek kondominium di Manggatal

November 27, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (KOPEKS) memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat pemaju bagi membangunkan sebidang tanahnya di Manggatal, dekat sini.

Pengerusinya, Datuk Dr Saat Awang Damit, berkata tanah terbabit yang terletak kira-kira16 kilometer dari pusat bandar raya akan dibangunkan dengan projek kondominium.

Katanya, projek itu dijangka mampu menjana pendapatan jualan hingga mencecah RM260 juta dengan anggaran keuntungan sebanyak RM60 juta.

“Menerusi pelaksanaan projek ini, KOPEKS dijangka akan menerima keuntungan sebanyak RM30 juta dalam tempoh dua hingga lima tahun.

“Projek ini telah diluluskan dalam mesyuarat agung khas pad 14 Julai 2024 dan perjanjian dengan pemaju akan dimeterai pada pagi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan KOPEKS yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Saat mengiringi Ketua Menteri pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan KOPEKS di SICC.

Yang turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair dan Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui.

Saat berkata, projek hartanah itu adalah antara usaha KOPEKS bagi memajukan aset dan tanah terbiar miliknya untuk menjana pendapatan berimpak tinggi.

Selain untuk dijual kepada pembeli hartanah biasa, unit kediaman projek kondominium itu turut ditawarkan kepada ahli KOPEKS yang berminat memiliki rumah menerusi projek berkenaan.

Sementara itu, Saat berkata perancangan di bawah pelan strategik perniagaan 2024-2030 KOPEKS itu mensasarkan pekembangan perniagaan lebih cergas untuk meningkatkan hasil pendapatan koperasi.

Katanya, di bawah pelan itu, KOPEKS turut merancang pembukaan cawangan Ar Rahnu yang ketiga di Tawau yang mana premis perniagaan sudah dikenal pasti dan kini sedang menunggu kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Kita juga merancang untuk memperkenalkan pakej pinjaman jangka pendek iaitu pinjaman untuk membiayai cukai jalan kenderaan yang disasar untuk golongan B40 dan golongan sokongan bagi meringkan beban mereka.

“KOPEKS juga merancang membuka hotel butik koperasi untuk menjana pendapatan jangka sederhana yang akan diusahakan secara kerjasama dengan mengusahakan premis dan bangunan sedia ada,” katanya.

Katanya, KOPEKS juga mengembangkan satu perniagaan baharu dengan mengambil alih Klinik Kesihatan KOOPSAHABAT di Wawasan Plaza dan merancang untuk menambah beberapa cawangan pada masa akan datang.

Katanya, perniagaan itu penting untuk menjana pendapatan baharu koperasi dan membolehkan koperasi membantu meningkatkan kebajikan anggota koperasi melalui kos rawatan kesihatan mampu milik.

“Selain daripada perniagaan ini, KOPEKS juga menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan KOPETRO ataupun Koperasi Kakitangan Petronas untuk dilantik sebagai pengedar minyak pelincir kenderaan tunggal di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kerjasama antara koperasi ini dijangka akan menyumbang pendapatan baharu dan memberi peluang perniagaan kepada anggota yang berminat.

“Satu lagi kerjasama antara koperasi melalui MoU ialah dengan koperasi MOCCIS di Kuala Lumpur bagi menyediakan kemudahan penginapan hotel mampu milik dengan diskaun khas kepada anggota KOPEKS yang bertugas atau bercuti di Kuala Lumpur,” katanya.

Sempena majlis itu, Ketua Menteri turut melancarkan portal berita milik KOPEKS yang dinamakan Kinabalu Media. – Info X