KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengemukakan senarai nama calon Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.
Ia berikutan tempoh perkhidmatan Yang di-Pertua Negeri sekarang, Tun Juhar Mahiruddin dijadual tamat pada 31 Disember ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelantikan TYT terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong, manakala kerajaan negeri hanya mencadangkan nama yang difikirkan layak.
“Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik TYT, kita akan hantar (nama calon bakal TYT) dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (KOPEKS), di SICC, di sini, hari ini.
Hajiji ditanya sama ada kerajaan negeri sudah menghantar senarai nama calon TYT untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pada 23 Disember 2022, Tun Juhar menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah bagi tempoh dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lantikan penggal keempat bagi Tun Juhar itu berkuatkuasa dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024, sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan itu lebih 10 tahun dan paling lama sejak dilantik pada 1 Januari 2011.
Ia selepas pindaan Perlembagaan Negeri Sabah yang dibuat ketika pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Warisan pada 2018 berhubung tempoh penggal perkhidmatan TYT.
Sebelum 2018, seseorang TYT bagi negeri Sabah hanya dibolehkan berkhidmat sehingga dua penggal atau lapan tahun, namun dengan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri, tiada lagi had tempoh perkhidmatan ditetapkan.
Tun Juhar juga boleh dilantik semula sebagai TYT selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada akhir tahun ini, kecuali beliau membuat keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan.
Sebelum ini, beberapa nama pernah dispekulasi sebagai bakal TYT baharu Sabah, antaranya bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. – Info X