KOTA KINABALU: Pesara kerajaan negeri menerima bonus sebanyak RM1,000 yang akan dibayar sebelum sambutan Aidilfitri tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata insentif kewangan itu akan memanfaatkan lebih 13,000 pesara kerajaan negeri.
Katanya, bayaran itu selaras pembayaran khas kepada penjawat awam negeri yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan Sabah 2025, baru-baru ini.
“Kerajaan negeri akan memberi bonus RM1,000 kepada semua pesara kerajaan negeri Sabah yang akan kita bayar sebelum Aidilfitri tahun depan.
“Sebelum ini kita sudah umumkan bayaran bonus kepada penjawat awam negeri iaitu minimum RM3,000 yang akan kita bayar pada tahun depan.
“Jadi, saya rasa tidak adil bagi pesara kerajaan yang banyak memberi khidmat bakti kepada negeri jika kita tidak beri (bonus).
“Kerana itulah saya ingin umumkan di sini, kita akan beri bonus kepada setiap pesara kerajaan negeri sebanyak RM1,000 seorang,” katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah (KOPEKS), di sini, hari ini.
Ketika pembentangan Belanjawan Sabah 2025 pada 15 November lalu, Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun mengumumkan bantuan khas kewangan atau bonus sebulan gaji dengan bayaran minimum RM3,000 kepada semua penjawat awam negeri.
Insentif itu yang akan dibayar pada Januari depan memberi manfaat kepada seramai 18,949 penjawat awam negeri, termasuk pekerja berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian yang berkhidmat dengan kerajaan negeri. – Info X