Search

PRN17: GRS wujudkan Jentera Pilihan Raya Pusat dan Jawatankuasa Pengurusan Pilihan Raya

November 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menubuhkan Jentera Pilihan Raya Pusat (Negeri) dan Jawatankuasa Pengurusan Pilihan Raya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Penubuhan jentera dan jawatankuasa itu adalah antara perkara yang dibincangkan pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Pengerusi GRS, di sini hari ini.

Ketika ini GRS dianggotai lapan parti politik tempatan iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Mesyuarat AMT GRS yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, petang tadi turut dihadiri empat Timbalan Pengerusi GRS yang juga presiden parti komponen gabungan itu.

Mereka ialah Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi GRS, iaitu Presiden PHRS, Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah dan Presiden LDP, Datuk Chin Su Pin.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun; Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone J Kurum; Setiausaha GRS, Datuk Seri Masidi Manjun; Bendahari GRS, Ardino Diris dan Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai. – Info X