PENAMPANG: Pasukan bomba membantu menghantar pulang dua beradik yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kibabaig, di sini, selepas bapa mereka tidak dapat melalui kawasan sekolah berkenaan akibat dinaiki air, petang tadi.
Kedua-dua mereka berusia tujuh dan sembilan tahun diselamatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang menggunakan kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.06 petang, yang melaporkan terdapat dua murid dilaporkan tidak dapat diambil bapa mereka dari sekolah selepas laluan dinaiki air.
“Bapa mangsa dilaporkan tidak dapat melalui ke kawasan SK Kibabaig kerana dinaiki air dan tersangkut di kawasan Country Height.
“Pasukan bomba kemudian menggunakan laluan lain untuk tiba di SK Kibabaig sebelum menyelamatkan kedua-dua beradik terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mereka kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya di kawasan Country Height dalam keadaan selamat.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 6.47 petang,” katanya. – Info X