Search

Lelaki dibelasah hanya kerana basikal

December 2, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Hanya kerana basikal, seorang lelaki dipukul menggunakan kayu dan parang oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di kawasan Kampung Titingan, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu oleh ibu saudara mangsa, jam 4 petang, yang mendakwa mangsa berusia 30-an dipukul akibat pertikaian disebabkan berkaitan pinjam basikal.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek sedang berbincang mengenai dakwaan bahawa anak saudara suspek sering mengugut anak saudara mangsa berkaitan pinjam basikal.

“Pertemuan itu bagaimanapun bertukar tegang apabila suspek didakwa tidak puas hati dengan tuduhan itu lalu bertindak memukul mangsa.

“Selepas itu, mangsa pulang ke rumah. Tidak lama kemudian datang semula empat lelaki iaitu rakan suspek bertindak memukul mangsa bersenjatakan kayu dan parang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, akibat kejadian itu, mangsa cedera di tangan, muka dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Susulan itu, pada hari yang sama, kira-kira jam 5.30 petang, sepasukan polis dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan bersama Strike Team, Balai Polis Tawau menahan suspek warga asing berusia 30-an di kawasan Kampung Titingan.

“Pasukan serbuan turut merampas dua batang kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan. Polis masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata atau alat yang berbahaya.

Sementara itu, Jasmin berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh memburukkan keadaan dan menyeru mereka untuk menyelesaikan perselisihan melalui saluran yang betul. – Info X