Search

‘Sarang’ dadah diserbu, enam lelaki ditahan

December 2, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Enam lelaki yang menjadikan sebuah rumah di Batu 2, Jalan Apas, di sini, sebagai ‘sarang’ penagihan dadah berakhir apabila diserbu sepasukan polis, semalam.

Serbuan kira-kira jam 8 malam itu dijalankan oleh pasukan polis dari Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan kerana terkesan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika serbuan, polis membuat pemeriksaan ke atas nema lelaki terbabit berusia 16 hingga 34 tahun.

Bagaimanapun katanya tidak menemukan sebarang barang yang salah.

“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan di kawasan rumah pula berjaya menemukan satu peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine.

“Turut ditemui satu lagi peket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja bersama peralatan menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X