Search

36 syarikat terima Anugerah Sabah Trusted Brand Award (STBA) 2024

December 2, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 36 syarikat di Sabah menerima Anugerah Sabah Trusted Brand Award (STBA) sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan jenama masing-masing pada tahun ini.

Anugerah itu disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib pada majlis penyampaian yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu lalu.

Program anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) itu menampilkan syarikat yang dikenal pasti berjaya membina jenama masing-masing daripada sejumlah syarikat yang diaudit bagi mendapatkan anugerah berkenaan.

Dalam ucapan perasmiannya, James berkata pengiktirafan kepada 36 syarikat itu bukan saja usaha mereka dalam membina jenama yang kukuh dan dipercayai tetapi juga memberi gambaran jelas mengenai pentingnya komitmen terhadap kualiti dan kepercayaan pengguna.

“Anugerah STBA ini amat unik kerana ia terbuka kepada semua, tanpa mengira kaum, bidang, atau bentuk perniagaan. Ini adalah bukti bahawa Sabah adalah negeri yang meraikan kepelbagaian dan kemajuan secara inklusif.

“Namun, apa yang menjadikan pengiktirafan ini lebih istimewa ialah proses ketat yang dilalui oleh setiap syarikat untuk melepasi audit yang telah ditetapkan. Ini memastikan hanya jenama yang benar-benar cemerlang diberi penghormatan yang tinggi.

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Neger dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta MyIPO, atas sokongan dan kerjasama mereka dalam menjayakan program-program yang menyokong pembangunan usahawan tempatan.

“Dengan adanya kerjasama strategik seperti ini, kita dapat memastikan perlindungan hak jenama tempatan dan memperkukuh kedudukan mereka di pasaran global,” katanya.

James Ratib

Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Walter Kenson; Timbalan Presiden Kebangsan MTPN, Abdul Malik Jamaran dan Yang Dipertua MTPN Wabah, Kevin Lo.

James berkata, anugerah seperti STBA memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk menjadi peneraju dalam pelbagai bidang perniagaan berdasarkan kekayaan sumber daya dan kepelbagaian budaya negeri ini.

Sementara itu, Kevin berkata STBA adalah satu pengiktirafan yang inklusif, tidak mengira kaum, bidang, atau bentuk perniagaan.

“Untuk pengetahuan semua, terdapat sebanyak 126 syarikat yang dinominasikan oleh pengguna tahun ini, namun hanya 36 syarikat sahaja yang layak dinobatkan pengiktirafan ini.

“Pencapaian ini adalah hasil daripada proses audit yang ketat, yang memastikan jenama-jenama ini memenuhi piawaian yang tinggi dalam integriti, kualiti, dankepercayaan pengguna.

Saya mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah, kejayaan anda adalah inspirasi kepada para usahawan di seluruh Sabah,” katanya.

James menyampaikan anugerah STBA kepada syarikat pemenang.

Kevin berkata, majlis yang indah itu juga tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada agensi kerajaan, khususnya KPDN yang mana kerjasama erat mereka dalam menangani isu kepenggunaan sangat penting bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pengguna dan keperluan perniagaan dapat terus dijaga.

Kevin Lo.

“Sokongan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangun ekosistem perniagaan yang harmoni dan progresif.

“Sebagai Naib Presiden Kebangsaan MTPN, saya ingin menegaskan bahawa MTPN sentiasa bersiap sedia untuk memainkan peranan dalam membantu pengguna, termasuk menangani kes-kes aduan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan.

“Harapan saya agar semua pihak – pengguna, peniaga, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat terus memberikan sokongan padu kepada MTPN.

“Hanya dengan kerjasama erat ini, kita dapat memastikan suara pengguna didengar dan kepentingan mereka diutamakan,” katanya. – Info X

Pix – Senarai 36 syarikat yang menerima Anugerah STBA pada tahun ini.

Pix 2 –

Pix 3 –

Pix 4 –