KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita dan Pemuda UMNO Sabah hari ini menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletak jawatan berikutan pendedahan video yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.
Dakwaan itu membabitkan isu pengurusan sumber mineral negeri dan pengeluaran lesen perlombongan yang dipercayai berlaku unsur rasuah dan salah guna kuasa.
Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris, berkata Hajiji perlu meletakkan jawatan dengan segera bagi memastikan pentadbiran negeri kekal telus dan berintegriti.
Beliau turut mencadangkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat pengurusan sumber asli Sabah secara menyeluruh.
“Demi memastikan Sabah kembali kepada landasan pembangunan yang adil dan berintegriti, adalah penting untuk Kerajaan Negeri Sabah mengambil tanggungjawab penuh terhadap dakwaan serius ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, Wanita UMNO Sabah bimbang terhadap dakwaan serius video tular ADUN Sabah dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) yang mencerminkan wujud salah guna kuasa dan ketidakcekapan dalam menguruskan sumber asli negeri.
“Sebagai negeri yang kaya dengan hasil bumi, rakyat Sabah tidak boleh terus membiarkan kekayaan negeri ini dieksploitasi tanpa akauntabiliti,” katanya.
Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim, dalam kenyataannya turut menyuarakan gesaan sama terhadap Hajiji meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah agar siasatan dapat dijalankan secara bebas dan telus tanpa menganggu pentadbiran negeri.
“Satu siasatan menyeluruh dan bebas juga perlu dilakukan terhadap organisasi SMM dan kita mahu hasil siasatan didedahkan kepada rakyat Sabah kerana rakyat Sabah berhak mengetahui keadaan sebenar dan hasil siasatan dilaporkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap pentadbiran negeri,” katanya.
Katanya, pergerakan Pemuda UMNO Sabah menyuarakan kebimbangan serius terhadap isu membabitkan ADUN Sabah berkaitan skandal SMM.
Beliau berkata, berdasarkan video yang tular, terdapat dakwaan salah urus, penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan yang memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah.
“Sebagai Ketua Menteri dan individu yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal negeri, Datuk Seri Hajiji Noor mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menerusi maklum balasnya berhubung penyebaran video ADUN kerajaan Sabah di sebuah portal berita semalam, berkata pihak berkuasa perlu menyiasat sepenuhnya pendedahan yang dibuat itu.
Beliau berkata tidak dapat memberikan komen yang banyak berhubung dakwaan itu kerana kekurangan sumber, selain mahu pihak penguatkuasa melakukan siasatan.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut menafikan pembabitan UMNO dalam pendedahan dakwaan skandal terbabit memandangkan perbincangan mengenai projek dan urusan yang dikaitkan dengan isu mineral itu bukan membabitkan pemimpin UMNO.
Bagaimanapun, katanya sebagai parti pembangkang di negeri ini, UMNO perlu memberi maklum balas terhadap isu itu dan mengetengahkannya supaya rakyat mengetahuinya. – Info X