Search

Dakwaan berniat jahat, Kerajaan Negeri tidak pernah keluarkan lesen melombong – Hajiji

December 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menafikan Kerajaan Negeri pimpinannya telah mengeluarkan lesen melombong (mining lease) seperti didakwa beberapa pihak.

Katanya, setakat ini, kerajaan hanya mengeluarkan ‘prospecting license’ yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral.

Beliau berkata, proses ini adalah langkah awal yang diperlukan sebelum sebarang permohonan mining lease daripada syarikat yang layak dapat dipertimbangkan.

“Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran saya tidak pernah mengeluarkan lesen melombong (mining lease) kepada mana mana pihak.

“Sebarang dakwaan bahawa lesen melombong telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.

“Setakat ini, kerajaan hanya mengeluarkan ‘prospecting license’ yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral.

“Malangnya, isu ini telah dijadikan propaganda politik oleh pihak-pihak tertentu dengan niat jahat untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji turut menjelaskan, permohonan kumpulan terbabit melibatkan tanah yang sangat luas, hampir 1 juta ekar dengan sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya (totally protected areas), kawasan tadahan air, dan kawasan pemeliharaan.

“Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah disebarkan sebagai usaha untuk mengancam Kerajaan Negeri.

“Tuduhan bahawa wakil rakyat meminta habuan atau melakukan salah laku berkaitan isu ini adalah tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti demi masa depan rakyat.

Katanya, Kerajaan Sabah tidak akan tunduk kepada usaha yang berniat untuk menggugat kestabilan politik negeri.

“Berikutan penyebaran beberapa klip video terbaharu, saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti demi masa depan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan mengaitkan rakaman video yang telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat, termasuk ancaman berbentuk pemerasan jenayah, adalah tindakan terdesak yang bertujuan mencemar nama baik kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik Sabah.

“Oleh itu, saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran saya kekal berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan, dan kejujuran.

“Marilah kita bersama-sama memastikan kerajaan ini terus bertanggungjawab, responsif, dan fokus kepada keperluan rakyat demi masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera,” katanya. – Info X