Search

Warisan cadang Tun Richard TYT baharu Sabah

December 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan hari ini mencadangkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.

Naib Presiden Warisan, Terence Siambun, berkata cadangan itu sejajar harapan bersama rakyat Sabah agar TYT yang baharu akan mewakili integriti, keterangkuman, serta pemahaman mendalam terhadap kepelbagaian budaya dan agama yang unik di negeri ini.

“Dalam hal ini, saya dengan penuh hormat mencadangkan pelantikan Tun Richard Malanjum, yang memiliki rekod cemerlang serta komitmen teguh terhadap keadilan dan perpaduan, sebagai calon yang berwibawa untuk jawatan penting ini.

“Tun Richard ialah seorang tokoh Sabah yang dihormati dan mantan Ketua Hakim Negara Malaysia. Beliau juga memegang jawatan sebagai Ombudsman Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Dengan kepakaran undang-undangnya, dedikasi terhadap keadilan dan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat Sabah, beliau adalah calon yang unggul untuk jawatan mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tun Richard Malanjum.

Beliau berkata, Tun Richard mencatat sejarah sebagai anak Malaysia Timur pertama yang berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara dan secara konsisten menunjukkan komitmen terhadap keadilan, kesaksamaan, serta penegakan Perlembagaan.

Jelasnya, sepanjang tempoh perkhidmatannya, Tun Richard dikenali dengan penghormatannya terhadap kerangka Perlembagaan Malaysia, termasuk pengiktirafan Islam sebagai agama Persekutuan, sambil memastikan hak semua komuniti dilindungi.

“Cadangan ini sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Islam di Sabah. Seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan kekal utuh dan dihormati.

“Tun Richard mempunyai rekod dalam menghormati prinsip perlembagaan ini, dan pendekatan beliau yang inklusif memastikan semua komuniti, tanpa mengira agama, dilayan dengan adil dan bermaruah.

“Pendekatan beliau yang mengutamakan perpaduan menyerlahkan cara kepimpinannya yang inklusif, memupuk rasa hormat terhadap semua komuniti tanpa mengkompromikan kedudukan Islam.

“Contoh-contoh ini mengukuhkan lagi keyakinan bahawa pelantikannya akan mengekalkan dan memperkukuhkan semangat harmoni serta penghormatan terhadap Islam dan semua agama di Sabah,” katanya.

Terence berkata cadangan pelantikan Tun Richard juga mencerminkan identiti unik Sabah sebagai sebuah negeri yang harmoni dan pelbagai, berperanan sebagai jambatan untuk memperkukuhkan perpaduan dan kefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Kepimpinan beliau akan menegaskan lagi komitmen Sabah terhadap keamanan, keterangkuman dan kemajuan.

“Cadangan ini dibuat dengan semangat memupuk perpaduan, meraikan kepelbagaian Sabah dan memastikan tadbir urus yang baik untuk semua rakyat Sabah.

“Saya yakin bahawa pertimbangan terhadap pencalonan Tun Richard selaras dengan aspirasi rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan serta keharmonian Sabah yang berterusan,” katanya.

Tempoh TYT sekarang, Tun Juhar Mahiruddin dijadual tamat pada 31 Disember ini.

Sebelum pelantikan semula Tun Juhar berkuatkuasa pada 1 Januari 2023, beberapa nama disebut-sebut sebagai bakal penggantinya ketika itu, antaranya bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Turut heboh pada ketika itu ialah nama Huguan Siou atau pemimpin agung Kadazandusun yang juga pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) dan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Ends