TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki memukul kakaknya hingga cedera di kepala, tangan dan kaki di kawasan Hospital Tawau, di sini, semalam.
Suspek berusia 38 tahun ditahan di Lorong Piang, Jalan Utara Baru, di sini, selepas mangsa iaitu kakak kepada suspek membuat laporan di balai polis berhampiran untuk keselamatan diri.
Suspek dikatakan tidak berpuas hati terhadap tindakan kakaknya (mangsa) menghalau isterinya dari wad hospital.
Difahamkan, ketika itu mangsa berusia lingkungan 40-an mahu menukar pakaian ayahnya yang ditahan di wad berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan mendapati suspek dengan secara tiba-tiba menarik tudung dan menolak kakaknya ke dinding menggunakan siku.
“Suspek juga bertindak ganas memukul mangsa bertubi-tubi sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan sakit pada kaki dan tangan.
“Pertengkaran itu kemudiannya dileraikan oleh pengawal keselamatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau digerakkan untuk mengesan dan menahan suspek bagi membantu siasatan
“Serbuan dijalankan di rumah tidak bernombor di Jalan Piang dan suspek berjaya diberkas. Suspek kemudian dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya. – Info X