Search

Jambatan Pekan Tuaran – Sungai Damit dibina semula tahun depan

December 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jambatan Pekan Tuaran – Sungai Damit akan dibina semula dan disenaraikan dalam Rolling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pada tahun depan dengan kos RM30 juta.

Ia berdasarkan jawapan Kementerian Ekonomi dalam satu jawapan bertulis kepada pertanyaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Kementerian itu berkata, kos RM30 juta itu meliputi kerja-kerja perobohan jambatan sedia ada.

“Kerajaan sedia maklum dan prihatin terhadap keperluan jambatan ini bagi penduduk setempat.

“Sehubungan itu, kerajaan telah meluluskan kerja awalan yang merangkumi pembinaan jambatan gantung sementara bagi laluan alternatif orang awam dan pelantikan perunding bagi merekabentuk semula jambatan Sungai Damit untuk dilaksanakan segera bermula Oktober 2024,” kata kementerian berkenaan dalam jawapan bertulisnya.

Dalam soalannya, Madius meminta Kementerian Ekonomi menyatakan tindakan terkini terhadap Jambatan Sungai Damit, Tuaran yang telah diisytiharkan tidak selamat.

“Bilakah pembinaan semula jambatan ini akan dilaksanakan, serta berapa jumlah dana yang diperuntukkan untuk membina jabatan ini,” soalnya.

Sementara itu, Kementerian Ekonomi berkata kontrak asal projek berkenaan telah ditamatkan disebabkan pelbagai masalah ketika pembinaan.

“Berhubung hala tuju dan tindakan susulan projek ini, Jawatankuasa Task Force Damit Bil 3/2023 pada 11 Februari 2023 di bawah Jabatan Perdana Menteri telah bersetuju dengan syor pembinaan jambatan baharu berdasarkan justifikasi ‘value for money’, ketahanan serta keselamatan pengguna.

“Walau bagaimanapun, disebabkan pelbagai masalah semasa pembinaan, kontrak bagi projek jambatan ini telah ditamatkan pada 12 Disember 2023.

“Ia berdasarkan pengesyoran secara penamatan biasa oleh Pegawai Penguasa Projek iaitu Pengarah Kerja Raya Sabah setelah memastikan syor mengikut ketetapan kontrak serta mengambil kira pandangan daripada Peguam Negeri Sabah,” jelas kementerian itu lagi.

Pembinaan Jambatan Pekan Tuaran – Sungai Damit diluluskan Kerajaan Persekutuan pada 24 Mac 2017 di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), RMKe-11 dengan peruntukan sebanyak RM18 juta.

Ia dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan diselia Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebelum dipindahkan ke Kementerian Ekonomi selaku kementerian pengawal baharu. – Info X