Search

Kanak-kanak dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

December 7, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai Kampung Piasau, di sini, hari ini.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang mandi bersama beberapa rakannya, sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.41 petang.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mengambil maklumat dan difahamkan mangsa melakukan aktiviti mandi mandi di sungai berkenaan sebelum dikatakan lemas.

Anggota bomba menjalankan operasi SAR mangsa kanak-kanak dikhuatiri lemas di sungai Kampung Piasau, Kota Belud. – Foto/Bomba

“Pasukan operasi terus menjalankan operasi di sekitar sungai berkenaan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini mangsa masih belum ditemukan dan operasi pencarian terus dijalankan.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X