Search

Mayat lelaki ditemui tidak sempurna dipercayai dibaham buaya di Semporna

December 7, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Pegagau, di sini ditemui petang tadi, dalam keadaan tidak sempurna disyaki dibaham buaya.

Mayat, Hadun, 40, ditemui oleh orang awam kira-kira jam 4.30 petang dalam keadaan mengerikan tanpa sebahagian badannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 4.43 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk mengambil mayat mangsa.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 500 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Anggota mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis. – Foto/Bomba

“Mayat terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi ditangguhkan pada jam 6.55 petang dan usaha mencari sebahagian anggota badan mangsa akan dilakukan esok pagi.

Sebelum itu, katanya, BBP Semporna menerima panggilan berhubung seorang lelaki dikhuatiri hilang di sungai ketika pulang dari memancing.

“Menurut maklumat dari pemanggil mangsa dalam perjalanan pulang seorang diri menggunakan perahu, semalam sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah,” katanya. – Info X