KOTA KINABALU: “Saya belajar untuk mendapatkan yang lebih baik buat keluarga dan kejayaan ini adalah janji saya untuk mereka,” kata Muhammad Afiq Arlan selepas menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-26, di sini.
Muhammad Afiq adalah graduan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) yang menerima Anugerah Kecemerlangan dan Bakti Siswa HiUMS (B40) pada majlis konvokesyen kali ini.
Anak kelahiran Kampung Jawa 2, Sandakan itu tidak menjadikan status B40 keluarga sebagai halangan untuk mencapai kejayaan, malah ibu bapa menjadi pembakar semangat utamanya sepanjang pengajian di UMS.
”Alhamdulillah semasa pengajian saya telah mendapat biasiswa dari Pusat Zakat Sabah bermula dari tahun kedua pengajian.
“Ayah saya bekerja sebagai pemandu lori, manakala ibu saya merupakan suri rumah sepenuh masa.
“Pada masa ini saya sudah bekerja di salah sebuah syarikat kewangan Islam di Kuala Lumpur sebagai Compliance Executive, dan saya menyasarkan untuk terus bekerja dan menimba pengalaman sebanyak mungkin, serta terus berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya,” katanya.
Afiq menambah, beliau memilih bidang kewangan Islam kerana agama serta minatnya untuk belajar mengenai kewangan dari aspek syariah.
Beliau turut berharap agar lebih ramai pelajar khususnya dalam golongan keluarga B40 diberi bantuan untuk memudahkan mereka menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.
“Harapan saya juga agar agensi kerajaan dan universiti dapat bekerjasama dalam memberikan bantuan kewangan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan agar dapat mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.
Afiq menerima skrol ijazah pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UMS yang disampaikan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.
Beliau adalah antara 665 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UMS pada kali ini. – Info X