Search

PRN17: Senarai calon GRS dimuktamad April 2025

December 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Senarai calon Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka dimuktamadkan pada April depan.

Mendedahkan perkembangan itu, Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone J Kurum, berkata sebuah jawatankuasa sudah diwujudkan bagi memperhalusi senarai calon gabungan itu di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelasnya, jawatankuasa itu akan digerakkan mulai Januari ini sebelum dijangka selesai pada April sebagai persiapan menghadapi PRN17.

“Kita ada satu jawatankuasa yang sudah dibentuk untuk pemilihan calon. Baru-baru ini kita ada mesyuarat peringkat tertinggi GRS dan ada satu jawatankuasa yang diarahkan untuk mengendalikan perkara ini, memperhalusi calon kita di semua 73 DUN.

“Mungkin lewat bulan satu (Januari) ini bergerak kemudian kita boleh muktamadkan dalam bulan empat (April) tahun depan,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pemuda GRS, di sini, semalam.

Jonnybone ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pemuda GRS di SICC.

Pelancaran pergerakan itu disempurnakan Timbalan Pengerusi GRS yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Jonnybone yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, berkata pemilihan calon mewakili GRS merangkumi semua peringkat parti termasuk sayap pemuda.

Sementara itu, mengulas desakan pihak lawan supaya PRN17 diawalkan, Jonnybone berkata perkara itu tidak dapat dilakukan kerana kerajaan mahu Belanjawan Sabah 2025 dilaksanakan terlebih dahulu.

“Kita mahu belanjakan dulu belanjawan yang dibentang di DUN baru-baru ini, kasihan rakyat kita menunggu. Kalau ubah lagi kerajaan, nanti tukar lagi belanjawan, susahlah.

“Jadi, kita habiskan penggal DUN sekarang sebelum bubar, sabarlah.
Yang paling penting bajet yang kita sudah luluskan bersama pembangkang perlu dibelanjakan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak wajar diheret dalam usaha pihak tertentu mahu menukar kerajaan negeri pimpinan GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus yang memerintah sekarang. – Info