Search

‘Biarkan kerajaan berfungsi seperti biasa’

December 8, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah mahu kerajaan negeri yang ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus sekarang dibiarkan berfungsi seperti biasa.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata perkara itu bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan projek serta aktiviti menjaga kebajikan rakyat
berjalan lancar.

Jelasnya, kestabilan politik Sabah juga amat kritikal untuk mewujudkan ekosistem pertumbuhan ekonomi dan menarik keyakinan pelabur ke negeri ini.

Beliau berkata, biarlah rakyat Sabah membuat pilihan secara demokrasi siapa yang diyakini boleh mentadbir negeri ini apabila tiba pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Kami yakin pengundi di negeri ini amat bijaksana dan akan memilih pimpinan yang berintegriti pada pilihan raya akan datang. Biarlah mereka memilih secara demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.

Beliau ‘serangan’ terhadap kerajaan negeri ketika ini berikutan penyebaran video yang didakwa memaparkan unsur rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, disusuli gesaan pihak supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, meletak jawatan.

Razeef berkata PKR Sabah memandang serius kes penularan video yang diperkatakan itu tetapi mengambil pendirian menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Seperti yang semua sedia maklum, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun memulakan siasatan dan memanggil beberapa pihak.

“KEADILAN Sabah menggesa agar semua pihak memberi kerjasama yang baik dan sekiranya ada sebarang pelanggaran undang-undang, maka mereka yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan.

“Kerajaan Madani yang tegas dalam membenteras barah rasuah tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat. Pihak berkuasa dan Institusi mahkamah bebas melaksanakan siasatan dan pengadilan sewajarnya,” katanya. – Info X