KOTA KINABALU: “Terima kasih kepada pihak UMS yang selama ini membimbing anak saya walaupun tak sampai ke penghujungnya,” kata Ahmad Kamarudin Ibrahim, 65, dalam keadaan sayu selepas mewakili arwah anaknya menerima Ijazah Doktor Kesihatan Awam secara anumerta.
Ahmad Kamarudin mewakili anaknya, Allahyarhamah Nornazirah menerima skrol ijazah daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah yang juga Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tun Juhar Mahiruddin pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26.
Nornazirah meninggal dunia pada usia 36 tahun akibat kanser ovari pada 18 April lalu setelah menyelesaikan kajian tesisnya dalam bidang Doktor Kesihatan Awam yang diikutinya sejak beberapa tahun lalu.
Arwah pernah berkhidmat di Klinik Kesihatan Penampang sebelum meneruskan pengajian di UMS.

Ahmad Kamarudin yang ditemui selepas menerima skrol arwah anaknya meluahkan rasa terharu atas pengiktirafan usaha dan dedikasi anaknya walaupun sudah tiada.
“Terima kasih kepada pihak UMS yang selama ini membimbing anak saya walaupun tak sampai ke penghujungnya, tapi Alhamdulillah kerana usahanya, arwah berjaya menyiapkannya,” katanya.
Ibu Nornazirah, Tursinah Ibrahim, 64, menyifatkan arwah anaknya itu adalah seorang anak yang solehah, tidak suka menyusahkan orang dan kuat semangat.
“Walaupun arwah sakit tetapi masih membuka laptopnya untuk menyiapkan tesis.
“Sekiranya arwah mempunyai hutang dengan rakan dan pihak UMS, tolong maklumkan kami, insyaAllah kami akan uruskan,” katanya dalam nada sayu.
Allahyarhamah Nornazirah adalah antara 4,493 graduan yang dianugerahkan ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS kali ini. – Info X