Search

Pacuan empat roda dilengkapi tangki tambahan diguna seleweng diesel

December 9, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Sebuah pacuan empat roda ditahan selepas dikesan diubahsuai dipercayai untuk tujuan menyeleweng minyak diesel bersubsidi dalam operasi Ops Tiris 3.0 di daerah ini, Ahad lalu.

Operasi jam 9.49 pagi yang dijalankan pasukan Kita Gempur, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berjaya merampas kira-kira 500 liter minyak diesel.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, semua minyak yang diisi ke dalam tangki besi tambahan itu terus dirampas dan sitaan dianggarkan bernilai RM16,075.

Katanya, pasukan operasi turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang merupakan pemandu kenderaan terlibat.

“Suspek ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Pacuan empat roda ditahan selepas dikesan diubahsuai dipercayai untuk tujuan menyeleweng minyak diesel di Labuan.

Junaidah berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta dan tidak melebihi RM3 juta atau penjara bagi kesalahan seterusnya.

Katanya, bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Sementara itu, Junaidah berkata, operasi dijalankan hasil aduan dan maklumat awam serta risikan selama seminggu yang
dijalankan bahagian penguat kuasa KPDN Labuan.

Katanya, kejayaan ini membuktikan maklumat orang awam amat penting dalam membantu
KPDN membanteras salah laku berkaitan barangan kawalan bersubsidi dan aktiviti
penyelewengan.

“KPDN Labuan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara
berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Wilayah ini agar tidak
berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar
perundangan boleh menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan aduan kepada pihak KPDN.

Sehubungan itu, Junaidah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti salah laku berkaitan barang kawalan boleh disalurkan kepada pihak KPDN untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Aplikasi WhatsApp ditalian 019-848 8000 atau menerusi Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my.

“Maklumat turut boleh disalurkan menerusi talian Call Centre 1-800-886-800 atau Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya. – Info X