Search

Graduan Algeria terima Hadiah Tun Zaki Azmi, mahu ikut jejak bapa jadi profesor

December 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Graduan warga Algeria memenangi Hadiah Tun Zaki Azmi (Antarabangsa) sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-26.

Asmaa Chekima, 23, menamatkan pengajian dalam bidang perniagaan antarabangsa dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian.

Beliau menyifatkan kejayaan menamatkan pengajian dan menjadi penerima hadiah berkenaan pada tahun ini sebagai sesuatu yang tidak diduga.

Katanya, tiada sebarang rahsia dalam kejayaannya, hanya selalu berdoa dan sentiasa berusaha keras untuk mencapai impian.

“Yang pertama adalah sentiasa berdoa tanpa henti dan jangan putus asa dalam segala hal, kerana tiada perkara yang dianggap mustahil sekiranya ada impian, yang penting terus berdoa dan berserah kepada Allah.

“Peraturan kedua saya adalah perlu sentiasa berusaha dan bekerja keras, jangan jadi pemalas dan jangan berhenti separuh jalan dalam mencapai impian yang diinginkan.

“Saya pernah merasa seperti tidak akan berjaya dalam enam semester ini, namun Allah sentiasa memberi peluang berulang kali dan Alhamdulillah, saya dapat melalui semuanya,” katanya.

Asmaa menerima Hadiah Tun Zaki Tun Azmi (Antarabangsa) pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26.

Asmaa turut berkongsi bahawa dalam proses pembelajaran, keseimbangan antara kerja dan kehidupan adalah penting.

“Kita mesti pandai membahagikan dan menguruskan masa dengan bijak, sentiasa rancang jadual belajar dan aktiviti rutin lebih awal.

“Apa yang penting adalah jangan pernah abaikan solat, jaga solat dan sentiasa berdoa kerana dengan melakukan perkara tersebut, ia dapat membantu kita merasakan masa sentiasa mencukupi,” katanya.

Asmaa berkata, beliau juga menjadikan ayahnya, seorang profesor yang juga antara ahli akademik terawal di UMS sebagai sumber inspirasi utama dalam memperoleh cita-citanya.

“Saya juga membuat perancangan hala tuju dan cita-cita saya dalam mengikuti jejak langkah ayah saya iaitu menjadi profesor satu hari nanti.

“Namun bagi saya, kerana saya masih muda, saya rasa ingin menceburi bidang korporat dan bekerja di syarikat terlebih dahulu.

“Kemudian, dalam beberapa tahun akan datang, saya merancang untuk menyambung pelajaran dan mengikuti jejak langkah ayah saya secara berperingkat dengan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan PhD.

“Akhirnya, saya bercita-cita untuk menyambung legasi ayah saya sebagai seorang profesor,” katanya. – Info X