Search

Kastam rampas 111,391 liter petrol cuba diseludup ke negara jiran

December 10, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas 111,391 liter minyak petrol yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Minyak petrol bersubsidi bernilai hampir RM300,000 itu cuba diseludup keluar dengan menggunakan kapal kargo tempatan secara tidak sah.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, kapal kargo itu ditahan jam 7.48 malam, 19 November lalu oleh pasukan serbuan yang terdiri daripada anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Lahad Datu dan Sandakan.

“Bertindak atas maklumat yang disalurkan dari cawangan risikan Zon Sabah, pasukan operasi membuat serbuan ke atas sebuah kapal kargo tempatan kerana disyaki berisi minyak petrol yang cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui perairan Sabah.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap kapal kargo yang ditahan, pasukan serbuan menemui sejumlah 111,391 liter petrol,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Siti berkata, nilai rampasan minyak petrol itu dianggarkan berjumlah RM228,352.55 dan anggaran nilai duti serta cukai terbabit berjumlah RM66,835.60.

“Manakala kapal kargo yang disita dianggarkan bernilai RM250,000. Jumlah keseluruhan dianggarkan berjumlah RM545,186.15.

“Turut ditahan dalam serbuan itu, juragan kapal kargo warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi iaitu menyeludup minyak bersubsidi ke negara jiran menggunakan kapal kargo tempatan secara tidak sah.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Siti berkata orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – Info X