KOTA KINABALU: Graduan Orang Kurang Upaya (OKU) Pembelajaran (Asperger’s Syndrome), Jessica Ching Ai Lyn, 24, membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk melakar kecemerlangan dalam pengajian.
Di sebalik status OKU itu, siapa sangka Jessica berjaya meraih Ijazah Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen Ke-26 Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Graduan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) itu menamatkan pengajian dengan cemerlang dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Biologi Pemuliharaan) dengan memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.84.
Katanya, ibu bapa menjadi sumber kejayaan dan orang yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti sepanjang bergelar sebagai seorang pelajar prasiswazah di UMS.
Ibunya, Chua May Ling, berkata cabaran terbesar anaknya itu adalah ketika ingin melakukan pembentangan di hadapan pensyarah dan rakan-rakan.
“Dia menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan bersosial dengan baik, apatah lagi bercakap di hadapan ramai orang,” katanya.

Ayah Jessica, Ching Kok Hin, berkata pada awalnya mereka sukar melepaskan anak mereka itu sendirian di UMS kerana bimbang tidak dapat beradaptasi dengan baik.
“Bukan mudah bagi kami melepaskannya sendirian untuk menyambung pengajian, namun sebagai ibu bapa kami juga perlu membiarkannya untuk melihat sejauh mana dia boleh melangkah atas usaha sendiri.
“Kami juga melihat sokongan dan bantuan daripadapensyarah terutamanya Dr Zaiton dari Pusat Pengurusan OKU UMS yang sentiasa membantu dalam pengurusan keperluan sepanjang berada di UMS.
“Fasiliti bagi pelajar OKU yang terdapat di UMS juga sangat baik dan kemudahan ini dapat memberi keselesaan sepanjang proses pembelajaran,” katanya.
Graduan berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu menerima skrol ijazah yang disampaikan Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim. – Info X