Search

Shamsulmezah diduga hidap kanser sebelum tamat pengajian di UMS

December 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dikesan mengidap kanser ketika masih dalam pengajian menjadi dugaan terbesar buat seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bergraduasi pada tahun ini.

Shamsulmezah Shamsul, 24, didiagnosis mengidap kanser ovari tahap awal pada Ogos tahun lalu, ketika berada dalam semester empat pengajian di Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) UMS.

Sejak itu, dia banyak menghabiskan masa menjalani rawatan dan pada masa yang sama tetap tidak mengabaikan pengajian yang walaupun tidak dapat hadir kuliah.

Namun, berkat ketabahan dan kesungguhannya, Shamsulmezah yang berasal dari Tamparuli berjaya menamatkan pengajian dalam program Perhutanan Tropika Antarabangsa dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.77.

Ia sekali gus melayakkan dirinya yang kini sudah berstatus bekas pengidap kanser dinobatkan sebagai penerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26.

“Menerima anugerah ini adalah impian yang menjadi kenyataan.
Ketika saya didiagnosis, saya hampir berputus asa tetapi ibu bapa saya, terutama ibu, tidak pernah membiarkan saya menyerah.

“Mereka menjadi tulang belakang kekuatan saya,” katanya.

Shamsulmezah menerima Anugerah Kelestarian Perhutanan selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26. – Foto/UMS

Shamsulmezah berkata, sokongan kuat ibu san bimbingan pensyarah membolehkan beliau menyiapkan tesis bertajuk ‘Distribution Modelling of Graphium stratiotes (Papilionidae) and Delias eumolpe (Pieridae) in Sabah, Malaysia’ meskipun berdepan kesan sampingan rawatan kemoterapi.

Beliau menunjukkan ketabahan luar biasa dengan mengimbangi antara rawatan dan tanggungjawab akademik.

“Saya sering belajar dari rumah kerana menghadiri kelas secara fizikal terlalu sukar, namun saya tidak pernah berhenti mencatat nota sendiri dan mengulang kaji dengan tekun, walaupun hanya mampu belajar sedikit demi sedikit.

“Ibu saya adalah penjaga utama ketika saya di hospital. Dia bukan saja menjaga saya, malah menemani saya menyiapkan tesis, walaupun perlu keluar pada waktu tengah malam untuk mencari tempat kerja yang sesuai,” katanya.

Shamsulmezah merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang entomologi dengan hasrat menjadi penyelidik serangga, selain mahu terus menyumbang kepada ilmu perhutanan dan pemuliharaan biodiversiti di Malaysia.

Shamsulmezah turut terpilih sebagai penerima Anugerah Kelestarian Perhutanan dalam satu acara ringkas selepas sidang enam Majlis Konvokesyen UMS, yang disaksikan Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

Ends

Pix – Shamsulmezah menerima Anugerah Kelestarian Perhutanan selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26.