LAHAD DATU: Rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM153,360 disembunyikan dalam sebuah pondok zink di kawasan hutan paya bakau Kampung Puyut, di sini, dirampas Pasukan Polis Marin, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 5 pagi itu, semua rokok berkenaan dipercayai disembunyikan di kawasan berkenaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota PPM Lahad Datu sebaik menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan rokok seludup.
Katanya, hasil pemeriksaan di kawasan hutan paya bakau itu menemui sebuah pondok zink yang menyimpan sejumlah beg plastik pelbagai warna berisi rokok dipercayai tanpa cukai.
“Pemeriksaan lanjut telah menemui pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM153,360.

“Semua rokok berkenaan dirampas dan tiada tangkapan dijalankan namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pemilik barangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, semua rokok itu dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Semua rokok berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti penyeludupan. Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pelaku,” katanya. – Info X