Search

2 lelaki mengaku memandu mabuk, langgar tiang lampu, kereta lain

December 11, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Dua lelaki dipenjara tujuh hari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan, bulan lalu.

Tertuduh, Mohammad Alif Baharin, 21, dan Liew Vui Teck, 47, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Alif memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol hingga terbabit kemalangan dan melanggar tiang lampu di Jalan Chong Thien Vun pada jam 10.25 malam 29 November lalu.

Vui Teck yang juga memandu di bawah pengaruh alkohol terbabit dalam kemalangan apabila melanggar sebuah kereta lain di Jalan Bukit Quoin, Simpang Batu 15, Jalan Apas, di sini, pada jam 4.50 petang, 24 November lalu.

Ujian saringan pernafasan mendapati kandungan alkohol dalam darah semua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Don Stiwin kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dihukum penjara tujuh hari dan denda RM10,000 atau tambahan penjara tiga bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mohammad (kiri), Liew vui Teck (dua dari kiri) lim Tian Hock diiringi anggota polis trafik ketika keluar dari Mahkamah Majistret, Tawau.

Lesen memandu kedua-dua tertuduh juga digantung selama dua tahun.

Sementara itu, seorang lelaki warga emas dipenjara sehari dan denda RM10,000 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Lim Tian Hock, 61, didapati memandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Chong Thien Vun pada jam 12.10 tengah malam, 30 November lalu.

Semua pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X