TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghantar pulang enam pendatang asing tanpa izin (Pati) warga China ke negara asal, semalam.
Proses pemindahan dijalankan menggunakan pengangkutan udara melalui Lapangan Terbang Tawau secara terus ke Guangzhou, China.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai enam lelaki dewasa sahaja.
Katanya, ini membabitkan pemindahan tahanan warganegara China yang berusia lingkungan 32 hingga 55 tahun.
“Pemindahan semua Pati warga China telah dilaksanakan dari Depot Imigresen Tawau melalui Lapangan Terbang Tawau, menggunakan pengangkutan udara Batik Air untuk penghantaran pulang ke Guangzhou, China.
“Semua Pati terbabit telah selesai menjalani hukuman dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal selepas lengkap dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, semua PATI yang dipindahkan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–
Peraturan Imigresen 1963.
“Berdasarkan penghantaran kali ini, seramai 42 tahanan warganegara China sudah dipindahkan sepanjang tahun 2024.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 8,157 warganegara asing yang telah berjaya dipindahkan ke negara asal.
“Semua tahanan Pati ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya. – Info X