KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut terbabit dalam membantu kerajaan mempertahankan kedaulatan negara di Laut China Selatan menerusi kajian dan penyelidikan berkaitan yang dilaksanakan universiti itu.
Ia khususnya penyelidikan dilaksanakan pakar penyelidik UMS bersama universiti lain di Pulau Layang-Layang yang masih menjadi pertikaian beberapa negara di Laut China Selatan.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata penyelidikan berkaitan pulau itu dijalankan Pusat Penyelidikan Pulau-Pulau Kecil (SIRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam, UMS.
Katanya, kajian yang dijalankan oleh pusat itu turut membabitkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
“Penyelidikan ini melibatkan pelbagai disiplin yang merangkumi geopolitik, sosioekonomi, biodiversiti dan geomorfologi untuk menyokong tuntutan kedaulatan Malaysia serta mengenal pasti peluang pembangunan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pembinaan Replika Monumen Kedaulatan Pulau Layang-Layang dan Buku Pulau Layang-Layang: Malaysia’s Gem in the South China Sea yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, di sini, semalam.
Yang turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof Dr Baba Musta; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly; Pengarah SIRC, Dr Farrah Anis Adnan dan Ketua Projek, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.
Pulau Layang-Layang yang terletak 162 batu nautika dari pantai Kota Kinabalu adalah sebahagian daripada Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang dituntut beberapa negara termasuk Malaysia, China, Filipina dan Vietnam.
Kasim berkata usaha dilaksanakan UMS melambangkan pencapaian penting dalam bidang penyelidikan sekali gus memperkukuhkan kedudukannya di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Majlis pada hari ini menonjolkan keupayaan UMS dalam memanfaatkan hasil penyelidikan dan menterjemahkannya ke dalam bentuk yang nyata.
“Ini membuktikan kesungguhan UMS dalam menyumbang tenaga dan kepakarannya kepada Malaysia, selain turut mencerminkan tekad dan semangat warga universiti dalam menyokong agenda penyelidikan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Katanya Pelancaran Replika Monumen Kedaulatan Pulau Layang-Layang dan buku Pulau Layang-Layang: Malaysia’s Gem in the South China Sea adalah komitmen UMS terhadap kecemerlangan penyelidikan.
Jelasnya, ia adalah usaha ke arah memajukan pengetahuan dengan impak yang meluas terhadap isu nasional dan memupuk generasi akan datang untuk menghargai kedaulatan negara.
Sementara itu, Zaini menyifatkan Pulau Layang-Layang memainkan peranan penting dalam era geopolitik yang semakin kompleks pada hari ini terutama dalam konteks Laut China Selatan.
Katanya, penyelidikan mengenai pulau itu bukan saja melambangkan keberanian intelektual tetapi juga dedikasi luar biasa penyelidik dan pembantu penyelidik dalam menjalankan amanah besar kepada negara.
“Sebagai penyelidik, anda memegang amanah besar untuk menjadi pemangkin perubahan.
“Jadikanlah penyelidikan anda bukan sahaja sebagai usaha akademik tetapi juga sebagai sumbangan kepada pembentukan masa depan negara,” katanya. – Info X