KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menggesa DAP Sabah menyatakan pendirian sama ada masih menyokong kerajaan negeri atau sebaliknya berikutan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.
ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, dalam kenyataannya hari ini, berkata sudah lebih sebulan dakwaan rasuah itu didedahkan tetapi DAP Sabah belum menyatakan pendiriannya mengenai kes itu.
Beliau berkata, jika DAP Sabah benar-benar bertekad menentang rasuah dan tidak pernah berkompromi, ia harus berani menarik balik sokongannya kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selaras dengan prinsip yang dipegangnya.
“Daripada melengah-lengahkan siasatan dan mengulangi penyiasatan seperti semua kes rasuah, selain hanya menunggu maklum balas selepas dilaporkan, ia jelas menipu rakyat dan bertindak sebagai perisai kepada pegawai yang rasuah,” katanya.
Beliau berkata empat ADUN DAP Sabah yang mengumumkan menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah dan kerajaan pimpinannya pada Januari 2023 menunjukkan DAP ada hubungan sebagai kroni dengan GRS.
Calvin mendakwa, atas pertimbangan itu, pemimpin DAP Sabah yang ada jawatan dalam Kabinet negeri, terutama pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe yang memegang portfolio Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri juga adalah suspek dalam kes rasuah yang didakwa itu.
“Phoong Jin Zhe dan DAP Sabah tidak membuat sebarang kenyataan atau pendirian mengenai perkara ini, sebaliknya, mereka mengalih perhatian dan menjadikan kes rasuah kolektif untuk memuji Ketua Menteri kerana melindungi lesen perlombongan.
“Kenyataan DAP Sabah bahawa ia menyambut baik janji Ketua Menteri mengenai tiada lesen perlombongan akan dikeluarkan adalah tidak wajar. Daripada bukti yang ada, jelas bahawa ini telah menjadi isu yang melibatkan rasuah dan skandal besar-besaran sejak awal lagi.
“Pada Persidangan DUN bulan lalu, ADUN Warisan termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal cuba menyoal siasat kes rasuah itu, namun dihalang oleh Speaker DUN berkali-kali.
“Sebaliknya, empat ADUN DAP mempunyai peluang untuk meneruskan kes itu dan memberitahu rakyat perkara sebenar tetapi mereka tidak berkata sepatahpun ketika itu,” katanya.
Di samping itu, katanya Ketua Menteri secara peribadi berjanji pada masa itu (ketika sidang DUN) untuk memberi pembangkang maklumat terperinci mengenai pembangunan dan lesen perlombongan tetapi sehingga kini tiada perkembangan.
Situasi itu, katanya membuktikan bahawa pasti ada sesuatu yang mencurigakan di sebalik tabir dan mereka saling berjaga-jaga.
“Tambahan pula, gelagat kerajaan GRS memberikan lesen perlombongan kepada syarikat swasta dan bukannya syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) juga menunjukkan ia tamak dan hanya mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat Sabah.
“Justeru itu, demi kepentingan rakyat Sabah, DAP sepatutnya menggesa kerajaan Pusat dan negeri menjalankan siasatan bebas dan telus terhadap skandal itu seawal video rasuah itu disebarkan, bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“DAP Sabah juga diberi kuasa oleh DAP Pusat untuk membuat keputusan sama ada ia mahu menilai semula kedudukannya dalam kerajaan negeri Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Calvin percaya memandangkan DAP Sabah hanya memegang empat kerusi DUN, tidak sepatutnya ada halangan untuk parti itu menarik balik sokongannya kepada kerajaan GRS.
“Namun, saya yakin DAP Sabah tidak mempunyai kemampuan mahupun keberanian untuk menarik balik sokongannya kepada kerajaan GRS walaupun mereka telah mendapat mandat daripada DAP Pusat.
“Ini kerana mereka hanya melihat faedah, kuasa dan wang serta-merta berbanding pendapat orang ramai dan hak Sabah, mereka telah menjadi pengkhianat Sabah,” dakwanya.
Selain itu, beliau juga menggesa Ahli Parlimen DAP dan parti lain dari Sabah untuk memanfaatkan platform Parlimen bagi membangkitkan isu itu untuk mendapatkan penjelasan dan memastikan ia dibincangkan di peringkat nasional. – Info X