Search

Guna tong ikan seludup rokok tidak bercukai

December 12, 2024

Info X Reporters

KUNAK: Taktik menggunakan tong ikan untuk menyeludup rokok tidak bercukai terbongkar selepas berjaya dikesan oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak di sebuah perkampungan di daerah ini, semalam.

Dalam operasi itu, pegawai dan anggota PGA Kunak turut menahan seorang lelaki dewasa yang memandu kenderaan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 22 PGA Kunak, Superintendan Norman Chendan Anak Philip Picha Rumpang berkata, pasukan serbuan BN 22 PGA menahan kenderaan jenis Isuzu D Max Single Cab yang dipandu suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati muatan sebanyak tujuh kotak berisi rokok tidak bercukai.

Kenderaan pacuan empat roda membawa tong ikan berisi rokok seludup ditahan anggota Batalion 22 PGA Kunak. – Foto/PGA Kunak

“Semua rokok itu disembunyikan dalam tong ilan belakang kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha yang komited anggota PGA yang sentiasa bertungkus lumus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi mengekang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Pihak BN 22 PGA Kunak, tidak akan berkompromi dan tidak rela individu seperti ini untuk terus melakukan jenayah di daerah ini,” tegasnya. – Info X