Search

15 projek solar berskala besar dilaksanakan di Sabah

December 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) hari ini meluluskan penganugerahan projek solar berskala besar (LSS) kepada 15 pembida berjaya yang akan melaksanakan projek itu di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata proses pembidaan LSS 2024 yang disasar mampu menjana sehingga 199 Megawatt (MW) tenaga menerusi 15 projek keseluruhan itu, dikendalikan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Katanya, lapan daripada projek itu dilaksanakan di pantai barat dengan keupayaan menjana 113 MW tenaga, manakala tujuh projek lagi di pantai timur dengan keupayaan menjana 86 MW tenaga.

“Dengan jumlah ini (15 projek) dan projek LSS sedia ada yang sedang beroperasi atau sedang dilaksanakan, kapasiti tenaga yang dijana menerusi LSS di Sabah akan melebihi 350 MW atau 23 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan tenaga di Sabah menjelang 2027,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat MTS di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Tadau Energy di Kudat antara projek LSS yang sudah beroperasi di Sabah.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.

Hajiji berkata, projek LSS terbabit yang mengutamakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat tempatan Sabah, dijangka siap pada akhir 2026.

Setelah siap dan beroperasi sepenuhnya, Hajiji berkata LSS terbabit dapat membantu mengurangkan kebergantungan penjanaan tenaga elektrik di negeri ini kepada subsidi bahan api, terutama di kawasan pantai timur.

Hajiji berkata, harga bidaan yang ditawarkan syarikat pembida dalam projek LSS itu adalah kompetitif, selain menerima penyertaan yang menggalakkan.

Katanya, proses itu akan menjadi penanda aras projek tenaga yang akan dilaksanakan pada masa hadapan bagi memastikan amalan perolehan yang terbaik.

Pada mesyuarat itu, katanya MTS turut memperakukan Pelan Induk Pembangunan Hidro Sabah (SHDM) untuk pelaksanaan selama 10 tahun bermula pada 2028 hingga 2037.

“Kajian SHDM yang dijalankan oleh ECoS mengenal pasti potensi untuk menjana sebanyak 1,500 MW tenaga menerusi kuasa hidro.

“Dengan kapasiti ini, sebagai tambahan kepada 500 MW yang telah beroperasi atau diluluskan, menjadikan jumlah penjanaan tenaga hidro elektrik kepada 2,000 MW.

Ketua Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Sabah di Menara Kinabalu.

“Ia akan menjadi salah satu sumber tenaga utama di Sabah dengan mencapai lebih 38 peratus campuran kapasiti penjanaan ke dalam Grid Sabah,” katanya.

Ketua Menteri berkata, ia adalah salah satu penyelesaian jangka panjang yang mampan untuk memenuhi keperluan penjanaan tenaga elektrik di Sabah.

Sementara itu, Hajiji berkata mesyuarat itu juga memberi tumpuan kepada usaha menangani cabaran tenaga semasa di Sabah, termasuk kekurangan kapasiti dan kestabilan grid serta perancangan untuk memenuhi permintaan elektrik jangka sederhana dan panjang.

Bagi tujuan itu, katanya MTS meluluskan semakan semula Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) bagi memastikan penjanaan tenaga yang mencukupi, sesuai dengan perubahan semasa.

Mengenai pembekalan elektrik luar bandar, Hajiji mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk mencapai liputan 100 peratus di kawasan luar bandar menjelang 2030.

“Kita sedang meneroka pendekatan inovatif untuk memperluaskan akses elektrik kepada masyarakat luar bandar.

“Setiap rakyat Sabah berhak mendapat bekalan elektrik yang stabil dan kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk merealisasikan usaha ini,” katanya.

Hajiji berkata, inisiatif komprehensif itu menunjukkan dedikasi kerajaan negeri untuk membina infrastruktur tenaga yang kukuh dan mampan di Sabah.

Jelasnya, kerajaan bukan saja mahu menangani keperluan semasa tetapi juga merancang secara strategik keperluan tenaga untuk generasi masa depan. – Info X