Search

Warga asing dibenar beli rumah di bawah Sabah MM2H mulai hari ini (12 Disember)

December 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Program Sabah Malaysia Rumah Keduaku (Sabah MM2H) dilaksanakan semula bermula hari ini setelah selesai semakan semula kriteria berhubung pelaksanaannya di negeri ini.

Program yang disasarkan kepada pembeli rumah warga asing itu diletakkan di bawah pemantauan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri (KePKAS).

Sekretariat Sabah MM2H, menerusi satu kenyataan, di sini, berkata kriteria baharu program itu menyasarkan untuk menarik peserta dari semua negara yang ada hubungan diplomatik dengan Malaysia dan memberi mereka pilihan komitmen kewangan yang berbeza tahap.

Katanya, kriteria Sabah MM2H menawarkan tiga kategori permohonan yang dinamakan perak (silver), emas (gold) dan platinum.

“Program Sabah MM2H akan memberi peluang kepada peserta untuk tinggal di Sabah menggunakan pelbagai visa kemasukan dengan minimum 5+5 tahun dan memiliki rumah dengan harga belian minimum RM600,000.

“Sabah menawarkan persekitaran yang kondusif dan selamat kepada semua usia dengan cuaca yang baik sepanjang tahun dan kos hidup yang mampu milik.

“Peserta di bawah program ini boleh membawa tanggungan mereka ke Sabah. Tanggungan termasuk pasangan, anak, ibu bapa dan mentua.

“Tempoh kumulatif tinggal di Sabah ialah 30 hari setahun, menjadikan program ini sangat menarik dan mesra,” kata sekretariat berkenaan dalam kenyataannya.

Kenyataan itu berkata, maklumat lengkap berhubung program berkenaan boleh diperolehi melalui laman sesawang KePKAS.

Berdasarkan kenyataan itu, semua permohonan boleh dibuat melalui ejen Sabah MM2H yang berlesen.

“Kerajaan negeri sudah mengeluarkan lesen kepada syarikat tempatan yang boleh membantu pemohon dalam permohonan mereka,” katanya.

Sekretariat Sabah MM2H berkata, kerajaan negeri yakin program itu akan membawa kesan ekonomi yang positif kepada negeri ini.

“Pusingan ekonomi dijangka memberi manfaat kepada pasaran tempatan.

“Ramai peserta berpotensi menyatakan minat mereka dalam program ini dan kerajaan komited untuk menjayakannya,” katanya. – Info X