Search

‘Tiada konspirasi jatuhkan Hajiji’, kata Jeffrey

December 13, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyangkal dakwaan pihak tertentu yang menuduhnya mempunyai konspirasi terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu menegaskan tiada sebarang konspirasi seumpama itu atau apa-apa konspirasi yang pernah wujud sebelum ini.

Katanya, beliau dan parti pimpinannya menyokong penuh Hajiji dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2020 dan tidak pernah goyah meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Tuduhan itu adalah salah, mengelirukan dan bermotifkan politik. Saya percaya ia disasar untuk memecah belah kita, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakyat Sabah menjelang pilihan raya negeri (PRN),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jeffrey mengulas satu klip video berdurasi seminit 14 saat yang antara lain mendakwa beliau sebagai dalang di sebalik penyebaran video dakwaan rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS dengan niat untuk menjatuhkan Hajiji.

Klip video itu turut memaparkan tangkap layar komunikasi beliau dengan seorang individu melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berkaitan video dakwaan rasuah ADUN.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, beliau sedar mengenai penyebaran video itu, namun menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

“Tangkap layar itu, didakwa dari 1 November 2024 memaparkan sedutan satu perbualan yang keseluruhannya diambil di luar konteks dan disasar untuk memperlihatkan sokongan salah terhadap dakwaan itu.

“Masa kemunculan dakwaan ini secara kebetulan berlaku ketika tuduhan terhadap kerajaan negeri baru-baru ini yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya percaya pihak berkuasa akan mendedahkan perkara yang sebenarnya nanti,” katanya.

ADUN Tambunan itu berkata, beliau kekal komited untuk memastikan perpaduan, kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan Sabah.

Beliau menegaskan, sebarang cubaan untuk mewujudkan perpecahan di antara pemimpin yang sama-sama bekerja ke arah Sabah yang lebih baik tidak akan berjaya.

“Saya menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap salah maklumat dan tidak menjadi mangsa terhadap naratif berniat jahat yang bertujuan untuk menggugat kerajaan negeri.

“Saya akan terus menumpukan khidmat kepada rakyat Sabah dengan integriti dan ketelusan,” katanya. – Info X