Search

Suku akhir Piala Malaysia: Kehadiran pemain kebangsaan penting buat Sabah – Stano

December 13, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kehadiran pemain kebangsaan yang dipanggil pulang bagi membantu Sabah FC dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia menentang Kuching City FC, Ahad ini penting bagi skuad Sang Badak.

Pengendali baharu Sabah FC, Martin Stano, berkata langkah memanggil pulang pemain terbabit juga sejajar perjanjian awal di antara kelab itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jelasnya, perjanjian itu dibuat sebelum Sabah FC melepaskan pemain terbabit untuk menyertai Harimau Malaya bagi memenuhi tugas mereka sebagai pemain kebangsaan.

Katanya, tiga daripada pemain terbabit, iaitu Stuart Wilkin, Dominic Tan dan Daniel Ting diperlukan untuk membantu Sabah FC menghadapi Kuching City di Stadium Negeri, Kuching, Ahad ini.

“Kehadiran mereka sudah tentu akan meningkatkan kualiti, keseimbangan dan semangat berpasukan untuk mencapai keputusan positif nanti.

“Ini sejajar dengan perjanjian awal di antara Sabah FC dengan FAM sebelum melepaskan pemain ini untuk melengkapkan tugasan bersama pasukan kebangsaan,” katanya.

Perlawanan di Kuching itu nanti adalah aksi pertama di bawah bimbingan Stano setelah pengurusan Sabah FC melantiknya sebagai Ketua Jurulatih yang baharu berkuatkuasa pada 10 Disember.

Stano berkata, kepulangan tiga pemain kebangsaan itu untuk kembali bersama pasukan sudah pasti melegakan pihaknya bagi memastikan Sabah dapat melakar keputusan yang positif pada perlawanan di Kuching nanti.

Park Taesu akan kembali beraksi pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Kuching.

“Sudah tentu kita gembira, lebih-lebih lagi apabila kapten pasukan, Park Taesu sudah boleh beraksi pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia ini.

“Kami akan melakukan yang terbaik. Walaupun menang dalam perlawanan terakhir Liga Super di Kuching sebelum ini, tetapi ia berbeza dengan permainan dalam Piala Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Stano mengakui dua perlawanan suku akhir Piala Malaysia, masing-masing di tempat lawan dan gelanggang sendiri memerlukan pendekatan yang sedikit berbeza berbanding aksi Liga Super.

“Suasana Piala Malaysia itu sendiri juga akan memainkan peranan penting, Sabah FC sudah pasti tidak akan melepaskan peluang keemasan pada kali ini.

“Ini juga menjadi kenangan manis bagi saya kerana ia adalah perlawanan pertama saya sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC,” katanya.

Mengenai strategi pasukan, Stano berkata pendekatan sama seperti dilalui sebelum ini diteruskan, iaitu menuntut semua pemain fokus dan tidak memandang rendah keupayaan lawan walaupun menang pada perlawanan Liga Super tempoh hari.

“Untuk terus mencapai matlamat dalam setiap perlawanan, Sabah FC perlu mengekalkan konsistensi, pendekatan profesional, mentaliti kemenangan di samping berfikiran positif.

“Pada masa yang sama, kita juga sangat prihatin terhadap keadaan fizikal beberapa pemain yang mengalami kecederaan selepas bermain dua perlawanan untuk membantu pasukan kebangsaan sebelum ini,” katanya. – Info X