Search

Bunuh rakan sekerja, lelaki warga Indonesia berdepan hukuman gantung

December 13, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan di Mahkamah Majistret Sandakan hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pekerja ladang yang juga rakan sekerjanya, bulan lalu.

Tertuduh, Rick Teni, 45, yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Yong Ching Hong.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh rakan sekerjanya, Christian Andi, 30, di perumahan pekerja, Ladang NPC Santos, Berkat Setia, Kinabatangan pada jam 11 malam, 29 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, selain tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Nooraznie Bolalan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Januari 2025 untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia dan forensik.

Pada masa yang sama, tertuduh juga didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan senjata terhadap seorang lagi rakannya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Dua pertuduhan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Sandakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Al-Hakim Bin Abdul Razak.

Mahkamah menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan semula kes. – Info X