SEMPORNA: Pelancong lelaki warga China yang disyaki terjun ke laut ditemui lemas, di perairan Pulau Mabul, di sini, pagi tadi.
Mayat mangsa berusia lingkungan 30-an ditemui berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang di kedalaman 17 meter.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu, kira-kira jam 11.33 pagi.
Katanya, bertindak atas maklumat, Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dengan bantuan penyelam dari resort berhampiran telah membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa akhirnya ditemui berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang di kedalaman 17 meter.
“Ketika ditemui, mangsa masih memakai beg galas (back pack) warna kelabu mengandungi tuga batu bata,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, berkaitan kejadian itu, polis telah membuka kertas siasatan yang diklasifikasi sebagai laporan kematian mengejut.
Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan dalam masa 48 jam sekirannya masih tiada waris yang tampil untuk menuntut mayat mangsa.
“Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan segera menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Ali Amat di talian 013-2120852 atau Balai Polis Semporna di talian 089-782020.
“Orang ramai juga boleh tampil untuk menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X