RANAU: Seramai 24 pelancong berdepan detik cemas selepas bas dinaiki terbabas sendiri dalam kejadian di kilometer 12, Jalan Ranau-Telupid, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, 13 penumpang dilaporkan cedera dan terpaksa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.55 petang.
Katanya, kemalangan membabitkan bas pelancong yang terbabas sendiri berhampiran simpang Ladang Teh Luanti, di sini.
“Pasukan bomba turut hadir membantu bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah bas pelancong yang membawa 24 penumpang dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ediansha berkata, empat mangsa telah di bawa ke Hospital Ranau dengan menaiki EMRS untuk rawatan lanjut.
Manakala katanya, tiga lagi mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Lohan dan enam lagi mangsa dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan pasukan polis trafik turut dikerah ke lokasi untuk membantu mengawal lalu lintas,” katanya. – Info X