KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulangi komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Menteri berkata, setakat ini kerjasama dengan PH menjadi keutamaan GRS, manakala parti lain bergantung kepada situasi semasa dan penerimaan mereka.
“Yang lain itu, kita tengok, kalau fikiran mereka bagus, tidak gila, kita akan fikirkan sebab kita ini mahukan kebaikan, saya jadi Ketua Menteri dan yang saya mahu adalah perpaduan.
“Itu sebab saya tubuhkan GRS yang disertai oleh lapan komponen parti, walaupun di dalamnya ada parti yang kecil, tidak menang dalam PRN lalu, tapi niat saya baik, untuk kita satu hati.
“Cukuplah dengan pelajaran kita pada masa yang lalu. Misi saya sekarang mahu baik dengan orang, kita kumpulkan presiden parti yang ada.
“Bukan senang mengurus ini, memang penat tapi InsyaAllah mereka juga sudah menyatakan komitmen dengan GRS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sempena sambutan Krismas, di sini, semalam.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata beliau juga sudah memaklumkan kedudukan GRS dan peluang gabungan itu untuk memenangi PRN17 kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hajiji turut mengingatkan ahli Gagasan Rakyat supaya terus mengukuhkan perpaduan dan fokus bekerja mempersiapkan parti bagi menghadapi PRN akan datang.
“Oktober tahun depan adalah adalah bulan berakhirnya tempoh kerajaan ini. Ini bermakna kita boleh bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum itu ataupun pada waktu itu,” katanya. – Info X