SANDAKAN: Kenderaan yang dipandu mangsa dalam acara Drag Battle di Liter Sandakan Turt Club, Batu 5, semalam dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri litar perlumbaan ketika melepasi garisan penamat.
Dalam kejadian jam 4.44 petang itu, mangsa Abang Adib Abang Ali, 36, warga Brunei disahkan meninggal dunia di Hospital Duchess Of Kent (HDOK).
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy berkata, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa adalah peserta dalam acara Drag Battle.
“Hasil siasatan mendapati pada masa kejadian ketika kenderaan jenis Honda yang dipandu mangsa melepasi garisan penamat, telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri liter perlumbaan.
“Mangsa tersepit dalam kenderaan yang dipandunya dan dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami parah dihantar ke HDOK untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun katanya mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.25 petang di HDOK.
“Mayat mangsa kini berada di Unit Forensik HDOK dan bedah siasat akan dijalankan hari ini.
“Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Terdahulu, insiden itu turut tular selepas rakaman video berdurasi 13 saat menunjukkan kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas, melambung dan berpusing beberapa kali. – Info X