Search

PRN17: Insentif RM300 sebulan kepada graduan Sabah dalam manifesto KDM

December 15, 2024

Info X Reporters

TENOM: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menawarkan manifesto yang menggariskan bayaran RM300 sebulan kepada graduan Sabah jika berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata insentif itu ditawarkan kepada graduan dari Sabah yang baru menamatkan pengajian di institusi pendidikan tinggi awam atau swasta.

Katanya, bayaran itu akan diberikan selama enam bulan sebagai insentif atau bantuan kepada graduan sebelum mendapat pekerjaan.

“Kita memahami situasi dialami graduan yang baru menamatkan pengajian, mereka belum ada pendapatan dan mungkin sukar terus mendapat kerja selepas keluar dari universiti.

“Berikutan itu, kita memikirkan perlunya membantu mereka menerusi pemberian insentif dan selepas tempoh enam bulan itu kita menjangkakan mereka sudah mendapat kerja,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera PRN17 KDM bagi DUN Kemabong, di sini, semalam.

Peter mengangkat tangan kepada penyokong KDM di Kemabong.

Beliau berkata, kerajaan negeri mampu untuk membayar insentif berkenaan dan insentif lain kepada rakyat demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat negeri ini.

Pada majlis itu, Peter turut mengumumkan manifesto yang menawarkan bantuan RM500 setahun kepada ibu tunggal bagi membantu golongan berkenaan.

Dua manifesto itu adalah yang terbaharu diumumkan Peter selepas beberapa lagi manifesto lain yang digariskan KDM untuk dilaksanakan jika memenangi PRN17 nanti.

Peter ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jentera PRN17 KDM bagi DUN Kemabong, semalam.

Sebelum ini, Peter turut mengumumkan manifesto mengenai pemberian biasiswa kepada semua pelajar Sabah bagi mengatasi kesukaran ramai ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah membiayai pengajian anak, termasuk yuran pendaftaran.

Selain itu, KDM turut menawarkan manifesto pemberian rumah kepada semua rakyat yang layak, khususnya golongan miskin tanpa menetapkan jumlah yang perlu dibina di sesuatu kawasan DUN.

Tidak ketinggalan manifesto mengenai usaha untuk menyelesaikan isu tanah yang dihadapi rakyat negeri ini, selain mewujudkan bank oleh kerajaan negeri. – Info X