Search

PRN17: KDM yakin pertahan Melalap, tawan Kemabong

December 16, 2024

Info X Reporters

TENOM: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap dan menawan kerusi DUN Kemabong pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata keyakinan itu berdasarkan peningkatan sokongan yang diterima KDM daripada rakyat di kedua-dua kawasan berkenaan.

Katanya, dua kerusi pedalaman itu adalah antara kawasan berpotensi untuk dimenangi KDM selain beberapa lagi kerusi di bahagian lain, seperti di Kudat, Kota Belud dan Ranau.

Jelasnya, kegagalan kerajaan sekarang mengatasi pelbagai isu yang dihadapi rakyat perlu ditamatkan dengan memastikan kemenangan calon KDM.

“Bagi Kemabong dan Melalap tekad kita untuk memenangi dua kerusi ini. Bukan saja di sini, malah KDM mampu melakar kemenangan di beberapa lagi kawasan lain dari Kudat, Kota Belud, Ranau, kita yakin boleh tawan.

“Di Kemabong ini yakinlah, dengan pentadbiran Sabah ketika ini yang lemah dan tiada hala tuju, ditambah lagi apa yang terjadi baru-baru ini (dakwaan skandal rasuah), malu kita.

“Kita seolah-olah dimalukan dengan kedudukan kerajaan sekarang yang begitu, apa ertinya orang kampung jika pentadbiran yang sepatutnya menjaga mereka, sebaliknya hanya menjaga kepentingan pemimpin.

“Sepatutnya mereka bela rakyat, salurkan peruntukan kepada semua bahagian dan orang Sabah, tapi apa dilakukan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekarang, lari daripada tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera PRN17 bagi DUN Kemabong di Dewan Terbuka, Pekan Kemabong, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda dan barisan kepemimpinan tertinggi parti itu.

Program itu dihadiri kira-kira 8,000 penyokong KDM dari sekitar Tenom, khususnya di kawasan DUN Kemabong.

Kerusi DUN itu ketika ini disandang Datuk Rubin Balang yang memenanginya atas tiket Bebas pada PRN lalu, sebelum menyertai GRS.

Peter yang juga ADUN Melalap, berkata kemampuan KDM menawan kerusi DUN Kemabong boleh dilihat menerusi sokongan rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada akhir 2022.

Katanya, calon Bebas Parlimen Tenom pada masa itu menggunakan lambang ‘bunga’ (KDM) untuk meraih undi selepas pencalonan Peter ditolak pada hari penamaan calon.

Berikutan itu, sepanjang kempen PRU15, KDM menyatakan sokongan kepada calon Bebas, Riduan Rubin dan turut membantu kempennya menggunakan kekuatan lambang ‘bunga’.

“Di Kemabong, kalau bukan ‘bunga’ tolong, tidak menang bah calon itu di sini, mereka guna logo kita bunga, mereka datang ke pejabat, sain kontrak tapi bila menang lari, ikut GRS.

“Jadi, kita mahukan satu pimpinan yang baik dan saya yakin dengan sokongan tuan puan (rakyat Kemabong), tidak kira siapa calon KDM di Kemabong, kita kasih menang, tukar pemimpin yang pentingkan diri sendiri,” katanya.

Peter berkata, ‘bunga’ (lambang KDM) sudah tumbuh bukan saja di kerusi DUN Melalap yang disandangnya, malah di Kemabong dan kawasan lain, termasuk beberapa kerusi DUN di Kudat, Kota Belud dan Ranau.

PRN17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang adalah ujian pertama pilihan raya negeri bagi KDM selepas Peter mengasaskan parti itu pada awal 2022. – Info X