Search

PRN17 : Rundingan kerusi PH hampir selesai – Peto Galim

December 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah bersama tiga parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah sudah hempir menyelesaikan rundingan kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Peto Galim, berkata setakat ini mereka sudah menyelesaikan 75 peratus agihan kerusi di antara empat parti komponen PH, manakala rundingan baki 25 peratus lagi termasuk ‘kerusi panas’ disasar diselesaikan pada awal Januari depan.

Jelasnya, rundingan itu hanya membabitkan kerusi dalam kalangan parti komponen PH, manakala rundingan dengan parti atau gabungan lain akan dibuat selepas PH membuat keputusan mengenai soal kerjasama apabila tiba masanya nanti.

“Empat parti komponen PH Sabah sudah menyelesaikan 75 peratus rundingan kerusi setakat ini. Sepatutnya rundingan selesai pada bulan ini tetapi disebabkan banyak program akhir tahun, mesyuarat tidak dapat diadakan.

“Jadi kita akan selesaikan pada awal bulan depan dan selepas itu, setiap parti komponen akan berunding pula dengan parti lain yang menjadi rakan kerjasama kita nanti apabila ia sudah diputuskan,” katanya pada sidang media PH Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin.

Peto yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, berkata PH Sabah tiada masalah untuk menyelesaikan rundingan kerusi dalam kalangan parti komponennya.

“Kita belum menyelesaikan rundingan inipun disebabkan banyak program akhir tahun, bukan pasal ada gaduh-gaduh atau bertengkar soal kerusi di antara parti komponen.

“Cuma, kalau ada kerusi yang belum dapat diputuskan, termasuk kerusi panas, kita akan minta bantuan presiden parti masing-masing untuk berbincang,” katanya.

Ketika ini, PH Sabah mempunyai tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), masing-masing empat dimiliki DAP, diikuti PKR (dua kerusi) dan satu kerusi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Sementara itu, Peto berkata setakat ini PKR Sabah terus menyokong kepemimpinan kerajaan negeri sedia ada dan mahu kestabilan politik di negeri ini dipertahankan.

Katanya, ia bagi memastikan jentera kerajaan pimpinam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – PH Plus yang ada sekarang berfungsi seperti biasa, terutama untuk melaksanakan misi membantu rakyat. – Info X