Search

Pemilihan TYT baharu bukan perancangan PM naikkan Mustapha sebagai KM – PKR Sabah

December 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah mengecam tindakan pihak yang menyebarkan berita palsu mendakwa pelantikan Tun Musa Aman selaku Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu sebagai perancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Peto Galim, berkata tuduhan dilemparkan ke atas Presiden PKR itu, kononnya pemilihan Tun Musa supaya Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud diangkat sebagai Ketua Menteri adalah fitnah semata-mata.

“Selepas kecaman ini, jika masih ada lagi tuduhan atau fitnah tidak berasas seperti ini, kita akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu itu,” katanya pada sidang media PKR Sabah, di sini, hari ini.

Peto berkata, PKR Sabah juga mengecam tindakan beberapa pemimpin politik yang menyerang Perdana Menteri atas isu pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Katanya, Perlembagaan Negeri Sabah Perkara 1(1) jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertua Negeri dilantik oleh Yang di Pertuan Agong mengikut budi bicaranya selepas perundingan dengan Ketua Menteri.

“Semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Negeri Sabah serta proses yang telah dijalankan mengikut Perlembagaan.

“Di samping itu, KEADILAN Sabah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang telah berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 dan mengurniakan pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara kepada Tun Musa di Istana Negara, kelmarin.

“KEADILAN Sabah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tun Juhar Mahiruddin sepanjang perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya.

Peto berkata, PKR Sabah menerima secara terbuka pelantikan Tun Musa yang akan mengangkat sumpah jawatan pada 1 Januari depan berdasarkan kelayakan dan proses pemilihannya yang dibuat mengikut perlembagaan.

Katanya, kehadiran ribuan orang ramai mewakili pelbagai etnik dan peringkat umur menyambut ketibaan Tun Musa di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam membuktikan penerimaan rakyat terhadap bekas Ketua Menteri itu. – Info X