Search

Polis Sabah nafi roboh rumah balu perwira negara

December 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menafikan rumah balu perwira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 lalu, dirobohkan pihak berkuasa.

Pesuruhjaya polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, rumah di Pulau Bodgaya, Semporna yang dirobohkan itu bukan rumah Sitti Bandorah Mahalil iaitu balu kepada Allahyarham Sarjan Abd Azis Sarikon.

Sebaliknya, beliau berkata rumah yang dirobohkan itu adalah rumah kosong yang sebelum ini didiami oleh pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Isu ini tular sejak semalam dan polis membuat penelitian terhadap isu ini mendapati bahawa isu berkenaan adalah tidak benar yang mana balu terbabit tidak tinggal di rumah berkenaan.

“Rumah itu adalah milik ayahnya yang dibina pada 1980-an dan yang tinggal di rumah itu adalah adik dia bersama dengan anak-anak adiknya. Yang mana penama (balu) ini sendiri tinggal di daratan dan mempunyai beberapa buah rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jautah berkata, pihak berkuasa juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa ugutan ke atas individu berkenaan.

Datuk Jauteh Dikun ketika sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu.

“Paling penting rumah ini tidak diroboh dan yang diroboh adalah beberapa rumah kosong milik warga asing dan kita telah menekankan daripada awal dalam isu di Kampung Bugaya ini, notis dikeluarkan oleh Taman-Taman Sabah (TTS).

“Pihak penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sebahagian daripada kumpulan operasi berkenaan. Kita menekankan daripada awal bahawa mana-mana rumah milik warga tempatan yang ditemui ketika operasi tidak akan dirobohkan dan 3,257 rumah telah diroboh dalam Op Koloni Setinggan sehingga ini tidak ada satu pun rumah warganegara Malaysia yang dirobohkan.

“Saya percaya bahawa isu ini dieksploitasi oleh golongan-golongan tertentu untuk cuba melemahkan operasi yang sedang dirancang oleh pihak PDRM.

“Untuk makluman juga, penama ini (Sitti Bandorah) mempunyai seorang anak pegawai kanan polis dan lebih menguatkan faktor terdapat golongan tertentu yang mencuba mengeksplotasi isu ini dan mengambil kesempatan memanipulasikan apa juga isu untuk melemahkan usaha pihak berkuasa yang diketuai oleh PDRM dalam usaha untuk menghapuskan koloni setinggan Pati di Sabah,” katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan terhadap orang atau pihak yang mengeksploitasi isu ini.

“Selepas berlakunya isu ini, kita sudah menghantar pegawai kita iaitu Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna sendiri untuk berjumpa dengan keluarga ini untuk mengetahui keadaan sebenar.

“Hasil maklum balas daripada Sitti Bandorah menyatakan dia kadangkala datang ke tempat itu untuk melawat keluarganya dia turut mendakwa berlaku sedikit salah faham ketika proses ini berlangsung.

“Kita akan meneruskan siasatan dan saya harap pihak awam maklum mengenai kes ini dan tidak menyalahkan pihak berkuasa dalam melakasanakan operasi untuk mengirangkan dan mengatasi masalah kebanjiran Pati serta koloni setinggan di Sabah terutamanya di pantai timur Sabah,” katanya.

Berdasarkan laporan sebuah portal berita sebelum ini, Sitti mendakwa rumah keluarganya di Pulau Bodgaya, Semporna dirobohkan pihak berkuasa, termasuk anggota polis.

Tindakan itu didakwa berikutan tapak rumah terbabit dan rumah penduduk lain terletak dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran yang diurus Taman-Taman Sabah.

Taman-Taman Sabah sebelum ini dikatakan sudah memberi notis kepada penduduk supaya mengosongkan rumah masing-masing kerana didakwa menceroboh kawasan Taman Marin Tun Sakaran.

Masalah timbul apabila penduduk kampung, termasuk Sitti mendakwa mereka sudah tinggal di kawasan terbabit selama berpuluh tahun. – Info X